INI pesanan ikhlas kepada semua politikus!
Musim pilihan raya sudah berlalu. Rakyat sudah tahu keputusannya dan semua pihak harus menghormati ‘suara pengundi’.
Tahniah kepada yang berjaya dan cuba lagi bagi yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Teropong Kawan bukan orang politik, tetapi hanya rakyat marhaen yang menjadi pemerhati. Memang diakui sudah asam garam orang politik, sentiasa ada sahaja isu untuk dibangkitkan.
BERHENTILAH sejenak!
Teropong Kawan berharap semua politikus tidak ‘sentap’ dengan kenyataan ini. Bukan niat untuk mengajar kerana mereka jauh lebih faham, mahir dan layak dalam sepak terajang dunia politik.
Namun sebagai rakyat, Teropong Kawan berharap inilah masa yang terbaik bagi semua pihak untuk merencana dan melaksanakan apa yang dijanjikan dan diamanahkan kepada mereka.
Andai mereka pemimpin yang diberi tugas atau portfolio dalam pemerintahan negara, lakukanlah tugas tersebut dengan baiknya.
Begitu juga jika dilantik sebagai pemimpin di peringkat negeri, inilah masa untuk membawa suara dan memulakan langkah bagi mencapai aspirasi rakyat.
Teropong Kawan yakin, sama ada pemimpin berkenaan duduk di kerusi pemerintah atau pembangkang, mereka telah diberi amanah dan tanggungjawab oleh pengundi dan rakyat, khususnya yang diwakili di kawasan masing-masing untuk membawa dan melaksanakan pelbagai perancangan dan aspirasi demi kepentingan semua.
Usah jadi ‘hero’ semasa berkempen, sedangkan apabila sudah menang, kelibat pun sukar ditemukan apatah lagi membantu menyelesaikan masalah rakyat dan membawa pembangunan dan kemudahan yang diharapkan.
Jangan sampai pada musim pilihan raya akan datang, merayu-rayu lagi kepada pengundi meminta undi! Pada masa itu, nyata semuanya sudah terlambat. Sekiranya mereka telah melakukan tugas dengan baik, rakyat dan pengundi tanpa diminta pasti akan memberikan undi dan sokongan padu kepada.
Selain itu, Teropong Kawan berharap janganlah pemimpin politik sesuka hati atau sewenang-wenangnya ‘membakar’ perasaan dan jiwa rakyat dengan isu-isu sensitif seperti Melayu pendatang serta perjuangan komunis yang selama ini jelas sudah menghuru-harakan negara dan membunuh banyak pejuang negara selama ini, khususnya pasukan keselamatan.
Usah bermain api kerana jika merebak dan sukar dibendung, isu-isu berkenaan mampu ‘membakar’ hangus semangat perpaduan pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Sepatutnya sebagai pemimpin, golongan politikus harus menjadi ketua yang baik, bukan membawa kehancuran terhadap sistem yang hingga kini dilihat masih ‘rapuh’ dan mudah terlerai dan hancur sekiranya tidak dijaga dengan elok.
Bagi golongan pemimpin dan generasi muda, usahlah terlalu ghairah menimbulkan pelbagai isu termasuk perjuangan komunis sehingga mahu menilai semula peranan mereka dalam kemerdekaan negara. Selama ini, komunis sudah diiktiraf sebagai ‘pengganas’ kerana jelas tindakan mereka membawa banyak kerosakan kepada negara.
Tidak kira siapa, semua yang menghalang cita-cita mereka merampas negara ini pasti akan menerima padahnya.
Teropong Kawan bukan lahir pada Zaman Darurat, namun berdasarkan cerita datuk nenek serta ibu bapa, mereka mengakui keadaan kehidupan rakyat pada masa itu amat sukar. Malah, ubi kayu boleh dianggap makanan ‘ruji’ pada ketika itu menggantikan nasi.
Keadaan itu ditambah dengan perasaan takut kerana siapa yang dianggap penentang perjuangan mereka akan dihukum, diseksa, malah ada nyawa yang berakhir di hujung senjata.
Apakah kumpulan ini layak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan?
Bagi waris pejuang dalam pasukan keselamatan yang dibunuh oleh pengganas komunis ini, apa perasaan mereka? Kehilangan insan tersayang dalam keadaan biasa pun sudah merasa kesannya, apatah lagi jika terkorban mempertahankan negara daripada pengganas komunis!
Justeru, belajarlah sejarah dan selami hati dan perasaan golongan yang pernah terseksa kehilangan ahli keluarga tercinta.
Biarlah status komunis tetap diiktiraf sebagai ‘pengganas’.
Teropong Kawan: Suka makan ubi kayu rebus dengan sambal hijau










