Pemimpin perlu terlibat dalam CSR - Utusan Malaysia

Pemimpin perlu terlibat dalam CSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Julai – Malaysia memerlukan lebih ramai pe­mimpin tidak kira di peringkat syarikat atau kepemimpinan negara untuk melibatkan diri dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memupuk sifat integriti dalam diri mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana pe­mimpin-pemimpin yang terlibat dengan CSR adalah pemimpin yang membentuk nilai murni dan pandangan peribadi yang positif.

“Ini adalah pemimpin yang dipandu oleh moral dalam tindakan peribadi serta usaha perniagaan mereka.

“Ini adalah pemimpin yang menjalani kehidupan seharian mereka serta perniagaan dengan integriti, etika, dan menghormati satu sama lain,” katanya dalam majlis Anugerah CSR Malaysia 2018 di sini hari ini.

Tambah Wan Azizah yang ju­ga merupakan Menteri Pemba­ngu­nan Wanita, Keluarga dan Ma­sya­rakat, kementeriannya telah memulakan Inisiatif Pembangunan Kepemimpinan Wanita bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang mempunyai nilai-nilai murni dalam mengemudi sesebuah organisasi.

“Kita tidak kekurangan pe­mimpin wanita yang hebat, tetapi kita mahu mempunyai lebih ramai yang menerapkan sifat-sifat murni serta jati diri dalam kepemimpinan mereka.

“Bagi pemimpin masa hadapan CSR perlu dilihat sebagai sesuatu yang profesional dan dalam masa yang sama berorientasikan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu Wan Azizah ber­kata, setakat ini, sebanyak 70 peratus daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia melibatkan diri secara aktif dalam CSR.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN