Pemberian royalti tidak dapat dilaksanakan segera – Azmin - Utusan Malaysia

Pemberian royalti tidak dapat dilaksanakan segera – Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak di negara ini tidak dapat dilaksanakan dengan segera.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini berikutan cadangan tersebut bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 kerana pengiraan adalah berdasarkan keuntungan kasar dan bukannya atas keuntungan bersih.

Oleh yang demikian, kata beliau, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan maka ia akan mengambil masa untuk melakukan pindaan ke atas Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Pada masa sama, sekiranya Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hendak menambah jumlah royalti kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar petroleum kepada negeri-negeri pengeluar minyak, ia akan memberi implikasi serius terhadap kedudukan kewangan Petronas dan kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang meneliti perkara ini terutama berkaitan fungsi dan bidang kuasa agensi berkaitan dan berkepentingan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Petronas bagi memastikan pembahagian royalti petroleum adil dan telus dengan mengambil kira implikasi kewangan kepada negara termasuk kesan kepada hasil kerajaan, industri dan rakyat,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang meminta kerajaan menyatakan bila pemberian 20 peratus royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak akan dilaksanakan.

PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk meningkatkan royalti bagi semua negeri pengeluar petroleum kepada 20 peratus, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ihsan.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan di Parlimen bahawa kerajaan Persekutuan akan memenuhi janji memberikan royalti 20 berdasarkan keuntungan dan bukan jualan kasar peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, mekanisme pembayaran royalti petroleum sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan dibincangkan dengan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas untuk mencapai kata sepakat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×