Pemberian Pencen Rakyat bermula tahun depan - Utusan Malaysia

Pemberian Pencen Rakyat bermula tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 26 Julai – Kerajaan Pas yang tidak menetapkan tempoh bagi menunaikan manifestonya akan mula melaksanakan pemberian Pencen Rakyat sebanyak RM50 sebulan kepada warga emas yang layak pada tahun depan.

HANAFIAH MAT
HANAFIAH

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukan bagi tujuan itu dikemukakan untuk kelulusan dan dimasukkan bagi dibentangkan dalam Bajet  2019.

“Kita akan mula pada tahun hadapan dan ia terbuka kepada semua warga emas yang tidak mendapat mana-mana bantuan termasuk  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga bukan pesara kerajaan,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Bagaimanpun beliau tidak menyebut anggaran jumlah penerima dan jumlah peruntukan yang perlu dikeluarkan.

Selain itu di bawah portfolionya, Hanafiah memberitahu, penubuhan pusat-pusat asuhan di jabatan kerajaan sebagaimana yang dijanjikan akan turut ditubuh pada tahun depan setelah perancangan dan kaedah pelaksanaannya diselesaikan.

Kerajaan negeri akan memastikan semua agensi dan jabatan kerajaan termasuk di daerah mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska)  di tempat kerja masing-masing bermula tahun depan.

“Saya telah berbincang dengan jawatankuasa di bawah portfolio saya  supaya semua jabatan kerajaan termasuk di daerah menyediakan premis bersesuaian.

“Premis itu perlu berdekatan dengan pejabat atau sekitarnya supaya menyenangkan ibu-ibu yang bekerja meninggalkan dan mengambil anak mereka,” katanya.

Hanafiah berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bersetuju memulakan projek perintis di Kompleks Seri Iman selain yang sudah dilaksanakan di beberapa tempat seperti Kompleks YPKT, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Universiti Malaysia Terengganu.

“Pengurusan taska ini akan diserahkan kepada YPKT. Bagi  taska di agensi swasta, pihak mereka ada jumpa saya baru-baru ini (untuk bersama menjayakannya), dan perkara ini masih dalam pertimbangan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN