Pembentukan barisan Kabinet bawa tuah kepada Warisan - Utusan Malaysia

Pembentukan barisan Kabinet bawa tuah kepada Warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2 Julai lalu, seramai 13 menteri dan 23 timbalan menteri telah mengangkat sumpah jawatan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Upacara itu menjadikan keseluruhan barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggotai seramai 27 menteri dan 23 timbalan menteri.
Ia mencakupi 27 portfolio berkaitan yang diisi pemimpin daripada empat parti komponen PH, selain wakil daripada  Parti Warisan Sabah (Warisan).
Biarpun, terdapat tiga lagi kekosongan jawatan menteri yang belum terisi namun pelantikan baharu itu dapat memastikan urus tadbir kerajaan berjalan lancar.
Apatah lagi, ketika ini perhatian rakyat tertumpu kepada sejauh mana gabungan itu mampu melaksanakan segala janji dan manifestonya selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Wakil

Secara keseluruhan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai wakil teramai dalam Kabinet dengan tujuh orang menteri dan tujuh timbalan menteri diikuti DAP dengan enam menteri serta enam timbalan Menteri.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula mempunyai enam menteri dan empat timbalan menteri manakala Parti Amanah Negara (Amanah) diwakili lima menteri dan empat timbalan menteri.
Sementara itu, biarpun Warisan hanyalah rakan strategik PH di Sabah namun parti itu turut diberikan lima posisi dalam Kabinet kali ini iaitu tiga menteri dan dua timbalan menteri.
Mereka ialah Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Datuk Liew Vui Keong (Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).
Kuota timbalan menteri pula disandang oleh Datuk Aziz Jamman (Kementerian Dalam Negeri) dan Isnaraissah Munirah Majlis (Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar).
Pengarah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah berkata, Warisan mempunyai kerusi Parlimen paling sedikit di Dewan Rakyat iaitu sebanyak lapan kerusi berbanding gabungan PH yang lain namun parti itu tetap memperoleh kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menganggotai Kabinet beliau.
Katanya, ia mungkin berkait hubungan rapat pemimpin utamanya, Datuk Seri Shafie Apdal dengan kepimpinan PH di samping membalas kesetiaan parti itu yang memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU-14.
“Jika kita lihat Shafie merupakan bekas pemimpin UMNO begitu juga Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz. Ini pastinya memberi kelebihan kepada Warisan.
“Selain itu, biarpun masih baharu kita juga dapat lihat sejauh mana Warisan berjaya mendominasi politik di Sabah pada pilihan raya umum lalu.
“Jadi, pemberian lima posisi kepada parti itu dalam Kabinet baharu kali ini dilihat wajar sebagai menghargai peranan dan sumbangan yang dimainkan para pemimpinnya,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.
Tambah Mohd. Azmir, apa yang penting pelantikan itu dilihat sebagai pengiktirafan kepada rakyat Sabah secara keseluruhan.
Katanya, ia juga menggambarkan kepentingan negeri itu kepada kerajaan Persekutuan dan membuktikan suara mereka tidak pernah dipinggirkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sumbangan

Menurutnya, pelantikan itu juga secara tidak langsung memberi impak besar kepada pembangunan Sabah pada masa hadapan terutama dari sudut ekonomi dan pelancongan. 
“Pelantikan Mohamaddin berupaya memacu industri pelancongan di Sabah yang terkenal dengan keindahan hidupan laut, flora dan fauna serta kepelbagaian etnik dan budaya. Begitu juga Ignatius yang dilihat mampu menarik kehadiran para pelabur ke Sabah sekali gus menjadikan negeri itu sebagai sebuah negara maju pada masa hadapan.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, sumbangan besar Warisan pada PRU-14 akhirnya dibalas menerusi pelantikan lima wakil daripada parti itu dalam Kabinet yang baharu.
Katanya, sebelum ini ramai yang menjangkakan Warisan sukar merampas Sabah yang merupakan antara deposit BN.
“Bagaimanapun, Warisan yang diterajui Shafie berjaya membuktikan bahawa parti itu mampu diterima baik oleh rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Warisan bukan sahaja berjaya menubuhkan kerajaan negeri malah pada masa sama menyumbang sebanyak lapan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.
“Faktor-faktor tersebut menjadi indikator kepada Perdana Menteri untuk memberikan tiga jawatan menteri dan dua timbalan menteri kepada Warisan,” katanya.

Adil

Jelasnya, walaupun kemenangan Warisan di Sabah dibantu gabungan PH seperti PKR dan DAP namun parti-parti berkenaan telah mempunyai wakil dari Semenanjung dalam barisan Kabinet baharu itu.
“Justeru, tidak timbul soal adil atau tidak kerana berdasarkan komposisi parti PKR dan DAP masih lagi dilihat dominan dan memegang beberapa jawatan kanan dalam Kabinet ketika ini.
“Apatah lagi status Warisan sebagai rakan strategik PH di Sabah menjadikan kedudukannya begitu penting terutama dalam mengekalkan penguasaan PH pada pilihan raya umum akan datang. Justeru, keputusan tersebut seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh gabungan PH,” ujarnya.
Katanya, beliau yakin ketiga-tiga menteri dan dua timbalan menteri daripada Warisan mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Mereka merupakan calon pilihan Shafie dan mempunyai jawatan penting dalam Warisan selain merupakan ahli politik yang berpengalaman luas di Sabah.
“Pastinya, Perdana Menteri sudah membuat penilaian sewajarnya sebelum membuat keputusan dan kita harapkan pelantikan ini mampu menjalin kerjasama yang lebih erat di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN