TUARAN 22 Julai – Pembayaran royalti minyak kepada negeri pengeluar petroleum perlu mengambil kira banyak faktor termasuk situasi ekonomi semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, mekanisme pembayaran tersebut akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya.
“Perkara ini akan dibincangkan dan saya akan merujuk semula dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi meneliti perkara tersebut.
“Royalti ini akan diperhalusi semula dan kerajaan komited untuk memenuhi semua janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun ia perlu dilaksanakan secara teratur bagi memenuhi semua keperluan khususnya negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (Stop) di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew; Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Stephen Wong Tie Fatt dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Rose Lena Lazemi.
Pakatan Harapan (PH), dalam manifesto PRU-14 berjanji untuk meningkatkan royalti bagi semua negeri pengeluar petroleum kepada 20 peratus, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.
Ketika ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ehsan.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan akan memenuhi janji memberikan royalti 20 berdasarkan keuntungan dan bukan jualan kasar peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak.
– UTUSAN ONLINE










