KUALA LUMPUR 23 Julai – UMNO mempersoalkan keputusan Perdana Menteri yang mahu membatalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang membuka lebih banyak ruang provokasi antara kaum dan agama.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO khuatir jika ada pihak yang menunggu peluang bagi menyebarkan hasutan serta dakyah dalam kalangan rakyat.
Kata Ketua Pembangkang itu, kesan pembatalannya dijangka amat menakutkan dan rakyat tidak lagi akan berasa selamat.
“Keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membatalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA dipandang berat oleh UMNO.
“Pembatalan Sosma akan membuka lebih banyak ruang kepada sesetengah pihak untuk meningkatkan provokasi kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial dan internet,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











