ALOR SETAR 18 Julai – Khidmat pembantu rumah bukan sesuatu yang asing terutama dalam kalangan pasangan berkerjaya bagi membantu melakukan kerja-kerja seperti mengemas rumah, melipat pakaian dan membersihkan bilik air.
Walaupun khidmat pembantu rumah amat ditagih namun banyak pasangan tidak gemar mengambil orang gaji tinggal bersama kerana berasa seolah-olah berasa privasi mereka terganggu di samping kos perkhidmatan tersebut yang semakin tinggi pada masa kini.
Namun disebabkan gaya hidup masyarakat yang semakin sibuk menyebabkan permintaan terhadap khidmat pembantu rumah separuh masa semakin meningkat bagi memudahkan kerja-kerja mengemas rumah.
Permintaan perkhidmatan pembantu separuh masa yang tinggi terutama pada hujung minggu mendorong banyak syarikat di negara ini untuk menawarkan perkhidmatan membersihkan kediaman secara fleksibel mengikut kesesuaian waktu pemilik rumah.
Menyedari pembantu rumah separuh masa mendapat permintaan tinggi mendorong bekas kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menawarkan perkhidmatan membersihkan rumah menerusi NZ Cleaning Services atau sebelum ini dikenali sebagai Sinar Hasrat Services sejak 2009.
Pengasas NZ Cleaning Services, Mohd. Fuad Azrol Ahmad Shukri, 34, berkata, pembabitan beliau dalam dunia perkhidmatan pembantu rumah separuh masa bermula secara tidak sengaja apabila mengalami kesukaran untuk membantu rakannya mencari pekerja sambilan untuk berpindah rumah.
“Pada waktu itu, tidak banyak syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan sebegitu. Malah, penggunaan laman sosial seperti Facebook juga masih baru dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Kesukaran mendapat pekerja sambilan untuk membantu rakan saya itu, memberi idea kepada saya untuk menawarkan perkhidmatan pembantu rumah separuh masa di sekitar Kajang, Selangor dengan hanya bermodalkan sebuah kereta serta tiga pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Kulim itu, peningkatan permintaan antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun terhadap perkhidmatan itu membolehkan beliau memperluaskan perniagaan NZ Cleaning Services dengan 32 rakan niaga ke seluruh Semenanjung.
“Setiap bulan kami mendapat permintaan sekitar 5,000 slot daripada kira-kira 4,000 pelanggan yang mana setiap slot ditawarkan perkhidmatan membersih rumah selama empat jam pada kadar RM68 bagi kawasan Lembah Klang dan Johor.
“Sementara bagi negeri-negeri lain, kadar bayaran yang dikenakan antara RM55 hingga RM60 bagi perkhidmatan membersih rumah selama empat jam. Bagi pelanggan yang tidak menyediakan peralatan membersih rumah pula dikenakan bayaran tambahan RM20,” ujarnya.
Tambah beliau, syarikatnya juga menawarkan peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi rakan kongsi NZ Cleaning Services dengan permulaan modal sebanyak RM3,000.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lanjut mengenai syarikat yang menawarkan perkhidmatan pembantu rumah separuh masa tersebut boleh layari http://nzcleaningservices.com atau ikuti laman Facebook milik NZ Cleaning Services Malaysia mahupun NZ Cleaning Services Alor Setar.









