KUANTAN – Seorang pembantu perundangan kerugian sebanyak RM13,754 selepas diperdaya dalam satu urusan pinjaman wang menerusi satu laman web Rabu lalu.
Mangsa, seorang lelaki berusia 32 tahun, telah melayari laman web onestopsolution.com dan berurusan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Rapheal untuk pinjaman wang sebanyak RM80,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, selepas berurusan dengan suspek, mangsa telah diarahkan supaya memasukkan wang urusan pinjaman pada keesokan harinya.
“Mangsa telah melakukan dua transaksi dengan memasukkan RM5,600 dan seterusnya memasukkan wang berjumlah RM8,154 atas alasan wang jaminan menerusi pemindahan wang melalui perbankan internet ke akaun penama Mohd. Ramlan.
“Suspek telah menjanjikan wang pinjaman dimasukkan kelmarin, namun setelah mangsa membuat semakan didapati wang pinjaman yang dijanjikan tidak dimasukkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. – K! ONLINE










