ALOR SETAR – Polis menahan seorang pemandu van sekolah selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap tiga murid perempuan berusia 10 dan11 tahun yang belajar di sebuah sekolah kebangsaan di Sungai Petani dekat sini sejak Januari hingga 22 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, pemandu van berusia 49 tahun itu ditahan pada Rabu lalu selepas perbuatannya itu terbongkar selepas seorang murid berusia 10 tahun mengadu kepada pihak sekolah mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, mangsa terbabit mendakwa pemandu van terbabit kali pertama meraba dada dan kemaluannya kira-kira pukul 2 petang pada Januari lalu.
Katanya, kejadian kali kedua pula berlaku kira-kira pukul 2 petang pada 22 Julai lalu semasa pemandu van terbabit dalam perjalanan menghantar mangsa ke rumah pengasuh.
“Selain meraba mangsa, suspek juga didakwa mengeluarkan kemaluannya daripada seluar dan memaksa mangsa untuk memegang kemaluannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sazalee memberitahu, dua rakan mangsa berusia 10 dan 11 tahun yang menaiki van sama mendakwa turut dipegang dan diraba pada kemaluan oleh suspek.
“Pemandu van terbabit ditangkap di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada pukul 9.45 malam, Rabu lalu,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017. – K! ONLINE








