KUALA LUMPUR 6 Julai- Setiap pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing dinasihatkan supaya melakukan caruman di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kurangnya kesedaran dalam kalangan majikan dan syarikat e-hailing serta pekerja mereka menyebabkan golongan pemandu tidak akan mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Katanya, beliau tidak mahu isu seperti pemandu Grab, Aiman Nosri yang meninggal dunia dan didapati tidak dilindungi Perkeso berulang lagi pada masa akan datang.
“Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 2017 (Akta 789) jelas mewajibkan semua pemandu teksi dan perusahaan yang seumpamanya untuk mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.
“Tapi masih ramai yang mungkin kurang kesedaran, mereka memikirkan ini sebagai satu bebanan, lihat apa yang berlaku kepada seorang pemandu Grab baru-baru ini, andai kata kalau dia mendaftar, warisnya sudah tentu akan dapat faedah Perkeso, jadi mungkin ada yang melihatnya sebagai satu bebanan tetapi kita perlu melihatnya sebagai satu perlindungan keselamatan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Perkeso di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










