Pemandu Grab ditahan miliki dadah - Utusan Malaysia

Pemandu Grab ditahan miliki dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 17 Julai – Seorang pemandu Grab ditahan selepas polis menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM5,700 dalam kenderaannya.

Penahanan itu semasa satu rondaan dijalankan di sekitar kawasan letak kereta di Jalan Bayu Mutiara 1, di sini, kira-kira pukul 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan suspek berusia 32 tahun itu mendapati, terdapat 23 paket plastik lutsinar berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 15.50 gram (g).

Katanya, turut ditemukan ialah tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk putih yang juga dipercayai ketamin (seberat 38.30 g), satu paket plastik lutsinar berisi 20 biji pil berwarna merah jambu dan biru dipercayai dadah (6.40 g) serta satu keratan aluminium foil berisi lima biji pil dipercayai dadah jenis Eramin 5 seberat 1.35 g.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan wang tunai berjumlah RM9,172 dalam kenderaan suspek.

“Dalam operasi itu, polis turut menyita kenderaan jenis KIA Optima yang dinaiki suspek, suis motokar serta telefon bimbit suspek untuk tindakan lanjut.

“Ujian air kencing yang dijalankan pula mendapati, suspek positif dadah jenis ketamin dan dia kini ditempatkan di lokap IPD (ibu pejabat polis daerah) di sini (Seberang Perai Tengah),” katanya di sini, hari ini.

Tambah Nik Ros Azhan, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39 (A)(1), 12 (2) serta 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN