Peluang suri rumah, belia jana pendapatan - Utusan Malaysia

Peluang suri rumah, belia jana pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 18 Julai – Demi membantu meringankan beban kewangan keluarga, seorang suri rumah sanggup bekerja sebagai pembantu rumah separuh masa yang kebanyakan dimonopoli pekerja asing sejak setahun lalu.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, Fatimah Shafie, 47, dia mula bekerja sebagai pembantu rumah separuh masa di NZ Cleaning Services cawangan Alor Setar dan Jitra selepas tertarik dengan iklan yang ditawarkan syarikat berkenaan di laman sosial Facebook.

“Pada 2011, saya ada mengusahakan kolam ikan. Namun sejak empat tahun lalu, saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya berhasrat untuk mencari pendapatan sampingan untuk membantu meringankan beban suami.

“Ketika mencari-cari pekerjaan yang sesuai, anak saya menunjukkan iklan NZ Clea­ning Services yang menawarkan pekerjaan pembantu rumah separuh masa. Tanpa berfikir panjang, saya terus menghubungi mereka untuk mendapatkan pekerjaan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Fatimah berkata, waktu be­kerja sebagai pembantu rumah separuh masa bergantung kepada slot yang ditempah pe­langgan menerusi syarikat NZ Cleaning Services cawangan Alor Setar dan Jitra sama ada empat jam atau lapan jam.

“Jika ada tempahan satu slot sahaja, saya cuma bekerja empat jam. Dalam tempoh empat jam itu, saya akan membuat kerja-kerja mengemas rumah seperti yang diminta pemiliknya. Jika kerja-kerja mengemas rumah tidak dapat disiapkan dalam tempoh tersebut, mereka boleh menambah waktu tetapi bergantung kepada kekosongan.

“Sebagai pembantu rumah separuh masa, saya bertemu bermacam-macam ragam pe­langgan yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Namun saya bernasib baik kerana tidak pernah jumpa pelanggan yang terlalu cerewat hingga menyukarkan tugas saya untuk mengemas rumah mereka,” ujarnya.

Kata Fatimah, khidmat pembantu rumah separuh masa kini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pasang­an bekerjaya terutama pada hujung minggu mahupun musim perayaan.

Sementara itu, pengusaha NZ Cleaning Services Cawangan Alor Setar dan Jitra, Mohd. Roszairi Rosni, 27, berkata, permintaan yang tinggi membuatkan pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri untuk mencari golongan asnaf yang berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah separuh masa.

“Pada masa ini, kami mempu­nyai kira-kira empat pekerja kontrak dan selebihnya, pekerja sambilan. Untuk memenuhi permintaan pe­langgan yang semakin meningkat, syarikat kami berhasrat untuk bekerjasama dengan pusat zakat untuk mencari pekerja tambahan daripada kalangan asnaf.

“Ini juga antara usaha yang mahu dilakukan syarikat kami bagi membantu golongan asnaf ter­utama mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk bekerja. Bagi cawangan Alor Setar dan Jitra, kami menyediakan kemudahan menghantar dan mengambil pekerja ke rumah yang ditugaskan mereka maka mereka juga boleh mendapat kemudahan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN