KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui pintu kembali terbuka buat bekas juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk ke Sukan Asia 2018 di Indonesia selepas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei digugurkan daripada skuad.
Justeru, Misbun berharap Iskandar mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Chong Wei, namun perlu berdepan cabaran dua rakan sepasukan, Lim Chi Wing dan Tan Jia Wei yang turut berada dalam senarai calon pengganti.
“Saya harap-harap begitulah (Iskandar ke Sukan Asia) tetapi kita akan melakukan penilaian sebaik mungkin sebelum membuat sebarang keputusan. Sukar untuk cari pemain yang memiliki ciri-ciri seperti Chong Wei.
“Selain itu, kita tidak mahu kemasukannya dalam skuad Sukan Asia sekadar mengisi kekosongan yang ditinggalkan tetapi mampu untuk membina keyakinan pemain-pemain perseorangan lelaki,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Sebelum ini, Iskandar menerima tamparan hebat apabila elaun bulanan untuk tempoh sebulan dipotong 50 peratus selepas didapati merokok ketika kempen Piala Thomas di Bangkok, Mei lalu.
Pada masa sama, Misbun yang juga legenda badminton tanah air percaya sukar untuk mencatat kemenangan bergaya pada Sukan Asia kali ini memandangkan skuad yang dibawa rata-ratanya dibarisi pemain muda.
“Kita tidak ada niat untuk mengundurkan diri kerana inilah pasukan yang ada bagi menggalas misi pada Sukan Asia. Belum tentu kita boleh menang memandangkan skuad yang kita bawa ini masih muda dan kurang pengalaman,” tegasnya.










