Pelik apabila BTN dimansuhkan - Utusan Malaysia

Pelik apabila BTN dimansuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBINCANG, bermesyuarat demi mencari sesuatu terbaik untuk kepentingan bangsa dan agama bukan bermakna untuk memusuhi pihak lain.

Jika orang Melayu atau umat Islam bercakap me­ngenai bagaimana untuk mengukuhkan ukwah dan perpaduan ummah atau bermuzakarah untuk menguatkan kedudukan ekonomi, politik dan membina taraf sosial yang berkualiti dalam kalangan sesama sendiri, itu perlu dilihat sebagai langkah positif tanpa dicurigai oleh sesiapa.

Malah, pendekatan sebegitu penting bagi orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Mereka tidak boleh dipandang rendah dan semudah untuk diperlekeh atau dipersendakan. Orang Melayu mahu hak dan keistimewaan mereka tetap terpelihara, kesucian Islam terjamin manakala kedaulatan Raja-raja Melayu tidak digugat.

Mereka berhak mempertahankan Islam dari dicemari oleh unsur-unsur liberalisme yang boleh merosakkan akidah dan keharmonian sesama ummah. Namun pada masa sama, bukan hasrat mereka untuk menafikan hak dan kepentingan pihak lain sejajar dengan peruntukan undang-undang yang ada.

Lain ceritanya bagi kalangan yang sentiasa ‘tercari-cari’ posisi strategik dalam pentadbiran atau pengurusan kerajaan. Tindakan sedemikian boleh dilihat sengaja mahu mencari kuasa bagi melunaskan sesuatu agenda yang tersirat. Sebab itulah misalnya jika seseorang pegawai cuba mencari kedudukan atau kenaikan pangkat di dalam sesebuah jabatan atau agensi secara ‘mengampu’, menagih atau tidak melalui proses biasa, mereka sering dicemuh dan sukar menjalankan tugas dengan efisien.

Selalunya, mereka yang ketagih mengejar kedudukan ini pula menyelit niat untuk ‘memangsakan’ sesiapa dalam kalangan rakan setugas atau pihak-pihak yang tidak disukainya. Inilah yang dinamakan menggunakan kuasa melalui kedudukan.

Fenomena begini perlu disekat. Sehubungan itu dan dalam konteks semasa, ada sebab bagi orang Melayu dan umat Islam di negara ini di akhir-akhir ini terusik perasaan dan terganggu fikiran. Ini ekoran beberapa perkembangan yang melibatkan posisi dan kapasiti di sesetengah jawatan utama kerajaan yang sudah ‘beralih tangan, bertukar tapak’, yang dilihat oleh masyarakat Islam dan orang Melayu sebagai boleh ‘menggugat’ kepentingan yang sedia mereka miliki.

Tidak ada harmoni apabila kembara ‘dari hati ke hati’ direntangi syak, prasangka atau seolah-olah menunggu waktu untuk melakukan sesuatu yang luar dari kerangka kebiasaan. Suasana begini sudah pastinya menjadi tidak sihat bagi kehidupan rakyat.

Kenyataannya, kejayaan dan kestabilan Malaysia selama ini adalah kerana rakyat pada umumnya bersikap terbuka, saling memahami dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Kehidupan mereka terdidik demikian sejak negara merdeka. Namun segalanya mula berubah dengan lahirnya parti-parti politik tertentu yang cuba ‘memisahkan perpaduan’ rakyat, dengan meniup sentimen kaum dan agama.

Malaysia selama ini damai, maju dan makmur berpaksikan konsep kehidupan dan tadbir urus yang sentiasa mengambil kira pandangan ramai (konsensus), bersederhana, inklusif dan adil saksama untuk semua. Hasilnya, tiada pihak yang berasa dinafikan hak, ketinggalan atau terkecuali dari menikmati kemakmuran negara secara bersama.

Di Malaysia sebenarnya tidak perlu ada terlalu eksklusif sehingga ada hal-hal yang menjadi terlalu sulit untuk dibicarakan. Hatta, dalam mana-mana kursus membina jati diri dan menghayati ketatanegaraan, tidak pernah timbul soal mencanang semangat ke arah memusuhi mana-mana pihak di negara ini.

Justeru, agak pelik apabila agensi-agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Biro Tata Negara (BTN) ingin dimansuhkan dengan alasan kononnya agensi-agensi seperti itu menjanakan unsur memusuhi mana-mana bangsa atau agama lain, selain dikatakan mempertahankan kepentingan parti politik dan kerajaan yang meme­rintah.

Kalau itu tanggapan dan alasannya, kelihatannya agak dangkal. Ini kerana, para petugas di agensi-agensi berkenaan sekadar menjalankan tugas berasaskan kepentingan parti dan kerajaan semasa yang memerintah (government of the day). Tugas mereka menegakkan kestabilan dan mengekalkan perpaduan dan kemakmuran negara.

Mereka sedia dibekalkan maklumat-maklumat kerajaan untuk dihebahkan kepada umum. Ini baik secara komunikasi bersemuka melalui siaran di udara, mahu pun secara penulisan. Sementara bahan-bahan yang boleh disalurkan kepada mereka termasuk janji-janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sudah ditunai, perancangan dan program-program baharu kerajaan untuk jangka pendek dan jangka panjang serta segala sesuatu yang boleh meyakinkan rakyat terhadap kerajaan PH yang menerajui negara ketika ini.

Harmoni itu indah dan mendamaikan. Hargailah suasana kehidupan penuh muhibah dan menyenangkan semua pihak ini, tanpa memberi ruang kepada elemen-elemen ketaksuban dan mirip kepentingan kaum yang merugikan.

Malaysia yang tersendiri mengharapkan rakyatnya saling menerima dan memahami!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN