KEMAMAN – Seramai 79 pelesit rempit yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti lumba haram ketika Operasi Bersepadu Samseng Jalanan Daerah Kemaman dibawa menunaikan solat Subuh secara berjemaah serta diberikan tazkirah di Masjid Sultan Ahmad, Chukai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, operasi yang bermula pada pukul 12 tengah malam sehingga pukul 8 pagi itu dijalankan oleh 41 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Menurut beliau, seramai 79 pelesit rempit yang ditahan terdiri daripada pelajar Melayu dan pekerja swasta yang berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.
“Kebanyakan mereka juga merupakan pelajar sekolah menengah serta kolej yang menjadikan malam Jumaat sebagai hari untuk berhimpun bersama rakan-rakan dan terlibat dengan lumba haram.
“Kesemua individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu dibawa ke IPD Kemaman untuk diambil keterangan sebelum diajak solat Subuh berjemaah serta membaca surah Yasin di masjid,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, perkara itu merupakan pendekatan baharu yang dilakukan oleh pihaknya dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran mengenai bahaya kegiatan lumba haram.
Menurut beliau, selepas solat berjemaah, kesemua individu terbabit diberi tazkirah oleh imam masjid bertugas mengenai kepentingan menjauhi aktiviti berbahaya dan tidak berfaedah itu pada masa akan datang. – K! ONLINE










