JOHOR BAHRU 10 Julai – Bersempena perlawanan akhir Piala Dunia 2018, pengusaha Restoran E&Y (Sahul) di Adda Heights di sini mengadakan pelbagai pertandingan bagi memeriahkan lagi suasana ketika menonton aksi final tersebut pada Ahad ini.
Pengusaha restoran berkenaan, Sahul Hameed E. Yaccob berkata, pelanggan bertuah bukan sahaja dapat menyaksikan perlawanan tersebut di layar gergasi malah berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk televisyen 50 inci.
Menurut beliau, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah, pertandingan makan dan minum, teka jaringan, kuiz bola sepak, teka berat replika piala dunia, tendang bola, teka bola dalam balang dan lain-lain lagi.
“Kami akan menjalankan pelbagai aktiviti seawal pukul 9.30 malam sebelum menunggu perlawanan bermula pada 11 malam. Pelbagai hadiah menarik menanti untuk dibawa pulang seperti televisyen, jersi pasukan, kasut, bola, barangan elektrik, baucar dan mafela.
“Untuk menyertai pertandingan ini mudah sahaja. Pengunjung hanya perlu untuk berbelanja sekurang-kurangnya RM5 dalam satu resit bagi melayakkan mereka menyertai acara cabutan bertuah, teka jaringan dan teka bola manakala pertandingan lain adalah percuma,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Sahul berkata, tujuan pertandingan itu diadakan bagi memeriahkan sambutan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 selain menghargai pelanggan setia yang selalu menonton perlawanan bola sepak di restorannya.
“Saya berharap aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat bola sepak,” katanya.











