Pengorbanan pasukan tentera untuk mempertahan maruah, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa dihargai, walaupun perkhidmatan mereka telah tamat, namun pengorbanan yang dilakukan sepanjang dalam khidmat tidak dibiarkan begitu sahaja.
Malah, sebelum tamat perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), golongan wira tersebut turut diberikan latihan atau kursus sebagai persediaan melangkah menjadi orang awam yang disediakan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
Menurut Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim, latihan peralihan tersebut diberikan sebagai persediaan kepada golongan itu melangkah ke dunia luar.
“Kita tidak mahu veteran membuang masa apabila mereka tamat khidmat memandangkan tubuh badan masih tegap dan mampu melakukan pekerjaan. Lagipun mereka mempunyai disiplin yang kuat dan mempunyai kepakaran dalam melakukan kerja-kerja lain.
“Sebaliknya, mereka hanya perlu pertingkat profesionalisme melalui penekanan akademik dan ketenteraan, di samping berusaha gigih melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen Perhebat ke-51 di Kem Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. Turut hadir Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, sehingga kini, lebih 90 peratus daripada bekas tentera yang menyertai latihan atau mengikuti kursus selama tiga, enam atau 18 bulan dalam bidang yang mereka ceburi berjaya memperoleh kehidupan yang ‘lebih cerah’ selepas tamat kursus berkenaan.
Kesemua mereka ditawarkan dalam tujuh bidang utama iaitu Kejuruteraan Automotif, Binaan dan Kejuruteraan, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Media dan ICT, Pelancongan dan Perhotelan, Pengajian Pengurusan, dan Penyediaan Makanan dan Sajian.
Sehingga 31 Disember lalu, bilangan anggota veteran ATM dianggarkan 310,841 dan kesemua mereka berpeluang menjalani latihan sebelum menamatkan perkhidmatan bagi memastikan mereka dibentuk menjadi modal insan berkualiti yang serba mahir dan terlatih.
Malah katanya, setiap kursus yang ditawarkan itu mempunyai pengiktirafan daripada pihak industri, di samping menepati kehendak pasaran semasa.
“Lebih 90 peratus daripada mereka yang menyertai kursus ini telah berjaya dan mampu mengecapi kehidupan yang lebih baik hasil daripada latihan yang mereka sertai sebelum mereka kembangkan sendiri perniagaan tersebut, malah mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada pihak lain termasuk anak-anak muda.
“Mereka ini kita boleh katakan amat berjaya dalam bidang keusahawanan, malah ada yang menjadi tauke besar, ejen pelancongan, pemilik hotel, hospital dan sebagainya,” kata Abdul Aziz yang mengakui berbangga dengan kebolehan anak-anak buahnya.
Memudahkan peluang kedua
Dalam masa sama, Abdul Aziz Ibrahim berkata, Perhebat sentiasa bekerjasama dengan industri bagi membolehkan anggotanya dapat mengikuti kursus kemahiran serta latihan sejurus tamat perkhidmatan dalam ATM untuk memastikan golongan itu dapat meneruskan kelangsungan hidup selepas tamat perkhidmatan.
Beliau berkata, ilmu yang ‘dikutip’ ketika menjalani kursus teknikal dan vokasional serta keusahawanan hendaklah digabungkan dengan ilmu ketenteraan serta disiplin yang tinggi dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi kerjaya kedua kelak.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kebanyakan pelatih Perhebat yang mengikuti 60 jenis kursus yang ditawarkan adalah dalam kalangan mereka yang berusia awal 40-an.
“Mereka yang mengikuti kursus ini adalah dalam kalangan anggota yang bakal bersara atau pesara tentera yang berusia awal 40-an yang mana mengikut terma perkhidmatan, ia adalah usia perdana untuk mereka bersara.
Kerajaan menyediakan peluang latihan peralihan bagi memudahkan peluang kedua kepada golongan ini.
“Kita faham pada usia berkenaan, ada anak-anak mereka yang melanjutkan pelajaran dan memerlukan wang untuk menyara keluarga. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu golongan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, bagi K. Sivasundar, 46, berkata, beliau mendapat manfaat melalui kursus kemasan bangunan selama enam bulan yang dianjurkan Perhebat selain didedahkan mengenai pelbagai agensi yang boleh membantu pengusaha memperluas perniagaan.
“Kursus yang ditawarkan itu membuka laluan yang lebih terang kepada saya untuk menyara keluarga bagi teruskan kehidupan selepas pencen,” kata bekas jurulatih payung terjun yang pernah berkhidmat di unit Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka ini.
Melalui kursus yang ditawarkan, ia memberi idea untuk membuka perniagan kemasan bangunan tidak lama lagi, ujar Sivasundar yang berhasrat untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda yang berminat dalam bidang yang diceburi ini.
Seorang lagi lepasan, Firddy Junak, 45, pula berkata, beliau menyertai kursus pembuatan perabot selama 18 bulan dan diberikan tunjuk ajar bermula daripada kursus asas.
Beliau yang berkhidmat selama 26 tahun dalam ketenteraan berhasrat untuk membuka kedai perabot sendiri apabila tamat latihan dan bersedia untuk menjadi tenaga pengajar kepada pelajar yang mahu mendalami dalam bidang pembuatan perabot.











