KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menjelaskan, pelantikannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sama sekali tidak bercanggah dengan Perkara 4(1) Peraturan Mesyuarat seperti didakwa barisan pembangkang.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu berkata, seperti yang disahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, surat yang mencalonkan namanya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat telah diserahkan pada 2 Julai lalu, iaitu 14 hari sebelum persidangan Parlimen hari ini.
“Ia (surat pencalonan pada 2 Julai) disahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat. Benda (isu) ini saya tahu media cakap banyak tentang surat pelantikan. Itu bukan caranya.
“Pelantikan adalah berdasarkan bidang kuasa Dewan Rakyat. Kita berpegang kepada kenyataan Setiausaha Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE










