IPOH 15 Julai – Pelantikan Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail sebagai Penasihat Menteri Besar bertaraf exco hanya merupakan cadangan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan belum diputuskan secara rasmi oleh Pakatan Harapan Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, cadangan itu akan dibincang secara menyeluruh dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Perak pada 20 Julai ini.
“Selepas itu baru kita tahu keputusannya sama ada dia (Siti Aishah) boleh atau tidak boleh, tetapi masa ini masih terawang-awang belum lagi diputuskan. Adakah jawatan itu diperlukan, jadi kita akan bincangkan.
“Dalam kes Siti Aishah, surat tidak dikeluarkan lagi sebab keputusan belum dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri di Masjid Al-Hidayah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT)Pengkalan Pegoh Seberang di sini hari ini.
Mohammad Nizar mengulas mengenai penangguhan pelantikan Siti Aishah untuk memegang jawatan sebagai Penasihat Menteri Besar bertaraf exco yang diumumkan oleh Ahmad Faizal sebelum ini.
Semalam, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji sama ada jawatan Penasihat Menteri Besar perlu diwujudkan termasuk dari segi bidang tugasnya serta terdapat keperluan atau sebaliknya.
Mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang menyokong Pakatan Harapan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Penasihat Menteri Besar, Mohammad Nizar berkata, perkara itu tidak timbul sebarang isu.
“Pelantikan itu telah diputuskan dan beliau dilantik secara rasmi, jadi tidak timbul sah atau tidak sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










