KOTA KINABALU – Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang pertama dari Sabah diharapkan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perundangan negara.
Timbalan Ketua Menteri Negeri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata, kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara wajar dipulihkan demi kesejahteraan bersama.
“Saya bukan pakar undang-undang namun, saya yakin sebelum ini wujudnya kepincangan dalam sistem perundangan negara. Tidak perlu diperjelaskan secara terperinci kerana rakyat sendiri menyedari dan peka perkara sedang berlaku.
Berita berkaitan:
“Justeru, diharapkan dengan pelantikan Tan Sri (Richard Malanjum) kita dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka di Wisma Tun Fuad Stephen di sini hari ini.
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan memberitahu, pelantikan Malanjum bersesuaian dengan kemampuan beliau yang disifatkan layak menggalas tanggungjawab tersebut.
“Saya yakin beliau dilantik bukan atas kapasiti warga Sabah semata-mata sebaliknya, mengambil kira pengalaman, senioriti dan merit sepanjang beliau melibatkan diri dalam bidang ini,” tegasnya.
Direkodkan, Malanjum merupakan anak kelahiran bumiputera Sabah yang pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia.
Pada tahun 2006, sejak terbentuknya Malaysia buat pertama kali beliau menjadi rakyat Sabah yang pertama diangkat sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Ini disebabkan, sebelum ini jawatan tersebut disandangkan seorang berbangsa British, seorang dari Semenanjung dan beberapa individu dari Sarawak. -K! ONLINE











