KOTA KINABALU 14 Julai – Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu adalah berdasarkan merit bagi memperkasa badan kehakiman negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, semua pihak tidak perlu berasa bimbang terutama orang Islam selepas timbul dakwaan pelantikan tersebut bakal menggugat kedudukan Islam di negara ini.
Beliau juga menasihatkan rakyat untuk tidak menimbulkan sentimen negatif, sebaliknya menilai berdasarkan kepada kepakaran dan kemahiran beliau dalam bidang berkenaan.
“Jangan menilai pelantikan ini dari segi bangsa dan agamanya. Apa yang lebih penting adalah prestasinya dalam bidang kehakiman. Bagi saya, pelantikan ini berdasarkan merit, kepakaran dan kemahiran kerana sudah lama berada dalam bidang ini.
“Saya yakin seseorang itu mampu memberi sumbangan kepada negara bukan kerana bangsa dan agamanya, bahkan kecintaan dia kepada negara, itu yang lebih mustahak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie menyambut baik pelantikan Richard sebagai tonggak utama badan kehakiman terbaharu di negara ini.
Katanya, beliau amat menghargai ketetapan yang dibuat kerajaan Persekutuan dalam menghargai individu yang berpengalaman luas dari negeri ini.
“Semua sudah maklum dan tahu bahawa beliau (Richard) merupakan seorang yang berdedikasi dalam bidangnya. Saya yakin rakyat Malaysia yang berada bukan hanya di Sabah, malah di Sarawak amat menghargai ketetapan dan juga keputusan yang telah dibuat” ujarnya.










