KUALA LUMPUR 9 Julai – Kementerian Wilayah akan mengkaji semula Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 sebelum sebarang keputusan mewartakannya dilaksanakan. Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya masih menunggu maklumat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai untung rugi pelaksanaan pelan tersebut.
“Banyak perkara yang perlu diteliti sebelum sebarang keputusan mengenainya diambil. Kemungkinan ia akan dikaji atau diperbaharui semula.
“Hal ini kerana sebelum ini ada pembangunan yang dikenal pasti bercanggah dengan pelan pembangunan tersebut,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi pertama ke DBKL di Menara DBKL 1 Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz. Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 dilancar pada Mei 2008 dan dijadual untuk diwartakan pada 1 Julai 2012 namun ia ditangguh dan sehingga kini draf pelan tersebut belum diwartakan.









