MALAYSIA adalah negara Islam yang amat unik ketika kita membicarakannya dalam konteks institusi Raja-Raja Melayu sebagai penjaga dan pelindung agama Islam. Sejarah negara ini mengemukakan banyak fakta dan peristiwa yang memungkinkan pihak Raja-Raja Melayu mengingatkan rakyat kepelbagaian kaum supaya tidak bertindak melampau menafikan kedaulatan agama Islam di negara ini.
Raja Melaka, Parameswara, mengikut catatan sejarah, memeluk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu ini tidak seharusnya dicabar dengan sewenang-wenangnya.
Prinsip perundangan dan perlaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad-dekad lamanya di negara ini seharusnya diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum kerana pelaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.
Sejarah juga membuktikan bahawa Kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang yang bernama “Risalah Hukum Kanun” berasaskan undang-undang Islam tentang perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jinayat. Risalah ini merupakan dokumen penting tentang pelaksanaan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.
Hal ini telah membuktikan kedaulatan raja Melayu dan status agama orang Melayu yang seharusnya diakui oleh rakyat tanpa melihatnya dari sudut yang negatif atau menganggapnya sebagai satu ugutan kepada masyarakat berbilang agama dan budaya.
Oleh itu agak adil jika dilihat kepada kedudukan agama Islam yang dijamin oleh Perlembagaan negara dari sudut yang lebih positif. Malah kedudukan orang Melayu sendiri adalah bermakna status Melayu yang dihubungkan dengan agama, budaya, adat resam, bahasa dan kedudukan istimewa mereka sebagai rakyat Melayu yang dipayungi oleh raja-raja Melayu sendiri.
Sejarah juga mencatatkan bahawa terdapat beberapa buah negeri Melayu yang telah menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan negeri tersebut seperti yang telah dilakukan di Johor pada 1895 dan Terengganu (1911). Tetapi sayangnya fakta sejarah ini hanya tinggal dalam catatan sejarah tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum sehingga seolah-olah Tanah Melayu ini merupakan satu bumi asing dari kita semua. Juga, sehinggakan orang Melayu sendiri juga telah dilihat sebagai “pendatang” di negaranya sendiri.
Sejarah Tanah Melayu baharu yang diberikan nama “Malaya” oleh penjajah juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati tentang status agama Islam iaitu ketika parti Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya agama Islam dijadikan agama negara Malaya. Dan sebagai balasannya yang adil maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka secara aman dan harmoni. Cadangan inilah yang telah diterima dan dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Fakta sejarah dan undang-undang yang dijelaskan ini amatlah penting difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat negara kita. Kontrak sosial tentang agama ini adalah merupakan persetujuan bersama di antara rakyat keseluruhannya tentang kandungan persetujuan yang telah diterima untuk diperuntukkan di dalam Perlembagaan. Oleh itu amatlah malang sekali jika terdapat pihak-pihak yang cuba menafikan tentang wujudnya kontrak sosial ini ketika negara ini mencapai kemerdekaan dulu atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai satu wadah keharmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini. Golongan inilah yang kelihatannya sedang mencuba untuk mencabar prinsip agama Islam di negara kita yang telah pun menjadi amalan dan diterima baik oleh semua kaum ketika negara kita mencapai kemerdekaannya.
Malah istilah “Islam” ini pula tidaklah seharusnya dipertikaikan sebagai amalan ritual semata-mata iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya seperti yang sedang dilakukan oleh sesetengah golongan di dalam masyarakat kita.
Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau termasuk golongan pelampau dari semua agama yang diamalkan di Malaysia. Hal ini disebutkan kerana di dalam apa saja agama yang wujud di dalam dunia ini, akan terdapat golongan pelampau dan fanatik melulu di dalam agama tersebut. Golongan agama pelampau dan taksub inilah yang seharusnya kita lenyapkan daripada berleluasa di dalam negara ini yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh toleransi dan harmoni.
DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).










