Pelajar FSKM UiTM Jasin anjur ICMMTC 2018 - Utusan Malaysia

Pelajar FSKM UiTM Jasin anjur ICMMTC 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN 17 Julai – Sebanyak 296 pelajar tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka kampus Jasin di sini menyertai Kolokium Informasi, Komunikasi dan Teknologi Multimedia (ICMMTC) yang pertama diadakan di kampus tersebut di sini petang ini.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM cawangan Melaka bertujuan menarik minat pelajar tahun akhir menghasilkan penerbitan dalam bentuk penulisan akademik di samping mengkomersialkan projek yang telah dihasilkan selama tempoh setahun.

Menurut Rektor UiTM cawangan Melaka, Datuk Prof. Madya Sabariah Mahat, program ICMMTC ini juga bertujuan menambah baik dan memperkasakan hasil dapatan akademik projek-projek tahun akhir para pelajar Ijazah Sarjana Muda FSKM.

“Menerusi usaha ini, para pelajar akan mendapat saluran-saluran untuk menerbitkan projek tahun akhir mereka di dalam bentuk penerbitan akademik dan mendapat penilaian potensi pengkomersialan.

“Program ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pihak pelajar malah untuk fakulti, kampus dan UiTM secara keseluruhan,” katanya ketika berucap merasmikan penutup kolokium itu di Perpustakaan UiTM kampus Jasin di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, enam juri industri daripada pelbagai syarikat yang terlibat dalam peluang pekerjaan di Melaka dan Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN