JOHOR BAHRU – Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Kulai dekat sini melalui detik hitam dalam dirinya apabila menjadi mangsa cabul guru bahasa Inggeris dalam kejadian pada April lalu.
Mangsa yang berusia 15 tahun itu didakwa dicabul dalam dua kejadian berasingan di sebuah bilik sekolah berkenaan dan di rumah guru terbabit.
Menurut satu sumber, pada kejadian pertama pada 11 April lalu, mangsa didakwa dipaksa guru berkenaan supaya membuka pakaiannya sebagai alasan untuk pemeriksaan badan untuk mangsa dipilih menjadi pengawas.
“Guru tersebut kemudiannya mencium bibir pelajar berkenaan sebelum memberi tahu mangsa layak untuk menjadi seorang pengawas.
“Guru lelaki itu sekali lagi didakwa mengulangi perbuatan berkenaan di rumahnya pada 22 April lalu dengan perbuatan yang sama,” katanya.
Sumber berkata, mangsa sebelum ini tidak berani mendedahkan perbuatan terkutuk guru terbabit sebelum dinasihatkan pihak sekolah untuk membuat laporan polis Khamis lalu selepas suspek mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ini.
Jelasnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Pihak kita telah menjalankan siasatan dan mangsa telah dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan lanjut,” katanya. – K! ONLINE










