KUALA LUMPUR 30 Julai – Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan melakukan pemutihan ahli bagi memastikan anasir-anasir negatif yang mencemarkan imej persatuan tersebut dibanteras sepenuhnya.
Pengasas awal Pekida, Datuk Seri Zaienal Abidin berkata, pihaknya sedang merancang pelan terbaik untuk memastikan pemutihan itu berjalan lancar sekaligus mengembalikan imej Pekida yang dikenali dengan perjuangan menjaga agama, bangsa dan negara.
“Kita akan membincangkan perkara ini dalam majlis Bersatu Bersama Kepemimpinan Pekida Malaysia yang akan menghimpunkan semua pemimpin tertinggi dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 26 Ogos nanti.
“Majlis seumpama ini adalah pertama kali dianjurkan sejak Pekida ditubuhkan pada 1983 dan kita yakin usaha untuk memulihkan imej persatuan dapat dilakukan menerusi perbincangan bersama pemimpin-pemimpin dari setiap negeri,” katanya dalam sidang akhbar Pekida yang berlangsung di Ibu Pejabat Utusan Melayu, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Pekida Malaysia, Datuk Yaacob Hasan dan bekas Naib Presiden Pekida Malaysia, Mohd. Yatim Md. Rajab. – UTUSAN ONLINE










