Pekerja gigih diberi ganjaran kereta - Utusan Malaysia

Pekerja gigih diberi ganjaran kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALABAMA 18 Julai – Pemilik sebuah syarikat khidmat pindah rumah di sini menghadiahkan sebuah kereta kepada seorang pekerja baharu kerana kesungguhannya berjalan kaki sejauh 32 kilometer untuk sampai ke tempat kerja selepas keretanya rosak di tepi jalan.

BBC melaporkan, Walter Carr berjalan kaki dari pinggir Birmingham menuju ke rumah pe­langgan yang bakal berpindah sebelum ditemukan anggota polis yang melakukan rondaan dan dia dibawa untuk bersarapan dan dihantar ke tempat kerjanya.

Kisah kesungguhan Carr berjalan kaki ke tempat kerja menjadi tular dalam media sosial dan rata-rata pengguna internet memuji keazaman tinggi lelaki ber­kenaan.

Seorang pelanggan syarikat tersebut, Jenny Lamey dan suaminya menerusi status dalam Facebook menceritakan bagaimana dia bertemu dengan Carr yang dipertanggungjawabkan untuk membantunya pindah rumah.

“Pada hari berkenaan, saya dan suami bangun awal sebagai persediaan untuk menyambut kumpulan pembantu pindah rumah dan sekitar pukul 6.30 pagi, loceng rumah saya dibunyikan dan melihat Carr datang ditemani anggota polis.

“Anggota polis itu membe­ritahu kami bahawa dia bertemu dengan Carr di tepi jalan dan pemuda itu pula memaklumkan dia akan membantu kami pindah,” katanya.

Sehubungan itu, Lamey me­nyuruh Carr untuk berehat sebentar sementara menunggu ra­kan-rakannya datang untuk membantu proses pindah rumah, namun pelawaan tersebut ditolak oleh pemuda tersebut.

Sebaliknya, Carr terus melakukan kerjanya sehingga siap.

Selepas kisah­nya menjadi tular, Ketua Pegawai Eksekutif sya­rikat Bellhops, Luke Marklin memandu dari Te­nnessee untuk bertemu dengan Carr.

Selepas berbual sebentar sambil minum kopi, Mark­lin menye­rahkan kunci kereta kepada Carr.

“Secara jujurnya, saya berasa kagum dengan semangat Carr untuk melakukan tugas biarpun terpaksa jalan kaki sejauh lebih 30 kilometer,” ujarnya.

Carr yang nyata terkejut de­ngan pemberian tersebut melahirkan kesyukuran dan me­n­gucapkan terima kasih untuk segalanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN