JOHOR BAHRU 30 Julai – Pekerja asing dari negara yang mempunyai rekod penyakit berjangkit perlu melakukan saringan kesihatan sebelum diterima bekerja di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan penularan penyakit berbahaya seperti tibi dan malaria.
“Penyakit berbahaya seperti ini bukan berpunca di Malaysia sebaliknya boleh berjangkit melalui pekerja-pekerja asing yang bekerja di negara ini.
“Bagaimanapun setakat ini kes-kes penyakit seperti tibi dan malaria adalah terkawal namun kita mahukan langkah berjaga-jaga dan pencegahan terus dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Denggi ASEAN 2018 Peringkat Negeri Johor di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Kesihatan Awam), Dr. Shaharom Azian Che Mat Din.
Mengenai kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini setakat ini, beliau memberitahu, perkembangannya akan diketahui Rabu ini melalui laporan mingguan terkini.
Sehingga 21 Julai lalu katanya, jumlah kes HFMD di negeri ini berjumlah 2,215 kes namun tiada kematian dilaporkan berpunca daripada penyakit tersebut.
Beliau mahu orang ramai melakukan langkah pencegahan terutama dengan menjaga kebersihan dan sekiranya terdapat simptom penyakit berkenaan segera mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Selahuddeen berkata, usaha mempromosikan dan mencegah sebarang beban penyakit dalam konteks kesihatan awam merupakan antara agenda yang sangat penting untuk dilaksanakan.
“Mempergiatkan aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan secara berterusan adalah perlu bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat,” katanya.











