KUALA LUMPUR 10 Julai – Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan anak guamnya itu ada membeli barangan kemas daripada pemborong barang kemas terkenal dari Lebanon, Global Royalty Trading SAL.
Memetik laporan sebuah portal berita, K. Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent menjelaskan, kesemua barangan kemas seperti didakwa dalam tuntutan syarikat itu tidak dibeli oleh Rosmah sebaliknya hanya dilihat.
“Kami ingin menegaskan bahawa semua barangan kemas yang dinyatakan dalam kenyataan tuntutan Global Royalty Trading SAL, dihantar kepada anak guam kami untuk melihatnya, dan tidak ada yang dibeli oleh Rosmah.
“Tuduhan disebarkan bahawa barangan kemas yang disenaraikan telah dibeli dan dibeli menggunakan dana yang dicuri, oleh itu tidak berasas dan tidak benar,” katanya dalam laporan berkenaan, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sudah pun mengambil langkah-langkah perlu untuk melindungi kepentingan Rosmah. – UTUSAN ONLINE










