KUALA LUMPUR 24 Julai – Selain mendakwa pernah disuruh oleh pegawai penjara untuk mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, seorang penganggur memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang dia turut didatangi beberapa peguam untuk tujuan yang sama.
S. Nimalan, 25, yang merupakan tertuduh keenam dalam kes tersebut ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, mendakwa beberapa peguam tersebut tidak mengeluarkan kata-kata ugutan sebaliknya dia diminta untuk mengaku bersalah.
Tertuduh yang tidak menyatakan nama-nama peguam terlibat berkata, kejadian tersebut berlaku pada tahun 2015, sebelum dia melantik mana-mana peguam untuk mewakilinya dalam kes berkenaan.
“Tiada sebarang ugutan dibuat cuma saya disuruh untuk mengaku bersalah, tetapi saya tidak mengaku,” katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili tertuduh pertama, pakar patologi tentera, Dr. R. Kunaseegaran, ketika pemeriksaan balas dalam perbicaraan peringkat bela diri yang masuk hari ke-14 itu.
Dalam pada itu, saksi pembelaan kelima itu berkata, dia memilih untuk tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang pernah ditawarkan oleh pihak pendakwaan.
“Saya telah berbincang dengan peguam malah Jay (G. Gunasekaran) turut menasihati saya untuk tidak mengaku bersalah sebab saya tidak lakukan apa-apa kesalahan,” katanya.
Pada 28 Mac 2016, Nimalan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu membantu menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan bernombor WA 6264 Q dengan niat untuk mengelakkan enam tertuduh lain daripada diambil tindakan undang-undang.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut dari Jalan Dutamas 1, di sini ke ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Hilir Perak, antara pukul 7 pagi, 4 September 2015 dan pukul 2 pagi keesokannya dan pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Gunasekaran yang sebelum ini merupakan tertuduh kedua turut ditawarkan pertuduhan alternatif yang sama dan telah mengaku bersalah serta dihukum penjara dua tahun bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 September 2015.
Nimalan, S. Ravi Chandaran, 47, bersama R. Dinishwaran, 26, A.K. Thinesh Kumar, 25, dan M. Vishwanath, 28, didakwa bersama-sama Kunaseegaran, 55, membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.
Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.
Perbicaraan bersambung esok.










