Peguam didakwa pecah amanah libat wang berjumlah RM101,000 - Utusan Malaysia

Peguam didakwa pecah amanah libat wang berjumlah RM101,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa atas 12 pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap anak guamnya sejak lima tahun lalu. 

Tertuduh, T. Shan, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran. 

Mengikut kesemua pertuduhan, Shan didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah apabila tidak menyerahkan wang nafkah anak guamnya, Lim Teck Chin, 57, berjumlah RM101,000 kepada bekas isteri mangsa yang dibayarkan melalui akaun Thevin Chandran & Associates. 

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di pejabatnya di Jalan Panglima di sini pada pukul 3.06 petang 19 Ogos 2013 hingga 1.44 petang 13 Julai 2015. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakil peguam bela, Mohamad Salihen Mastor dan Aiman Ariff Abdul Azij. 

Naidatul Athirah memohon mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin namun Mohamad Salihen membantah dengan menyatakan kesalahan di bawah seksyen tersebut boleh diikat jamin. 

Dalam rayuannya, Mohamad Salihen memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin memandangkan tertuduh merupakan seorang peguam yang telah berkhidmat selama lebih 20 tahun selain mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak serta 10 orang pekerja di bawah kendaliannya.

Murtazadi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah. 

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. 

Mahkamah menetapkan 30 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN