SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu di butiran nama pasangan kepada dua kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Disember tahun lalu.
Tertuduh, Fikri Ab. Rahim, 43, yang juga bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu di butiran nama pasangan dalam borang maklumat peribadi, bahagian pengurusan penguat kuasaan JAIS kepada seorang kakitangan jabatan itu, Fatin Afikah Muhamad Mustapa di pejabat JAIS, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5 di sini, pukul 4 pagi, 16 Disember 2017.
Fikri turut didakwa atas satu lagi pertuduhan sama kepada seorang kakitangan JAIS, Mariah Mukhyuddin di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalilan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.
Raja Noor Adilla kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan kes disebut semula 6 Ogos ini.
Fikri sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat dengan seorang kakitangan SPRM di Mahkamah Syariah Shah Alam, 3 Mei lalu. – K! ONLINE










