KOTA KINABALU 17 Julai – Seorang pegawai kanan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) serta tiga kontraktor syarikat direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek penyelenggaraan kapal di Pelabuhan Sabah.
Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia antara 40 hingga 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret di sini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam prosiding itu, SPRM diwakili pegawai pendakwa, Faliq Basiruddin manakala kesemua suspek tidak diwakili peguam.
Faliq ketika ditemui selepas itu berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (A) akta SPRM 2009 kerana memberi sogokan kepada orang awam membabitkan projek-projek berkenaan bermula 2016 hingga tahun ini.
“Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










