KUALA LUMPUR 20 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam menangani kemelut judi haram dan memandang berat kenyataan pelbagai pihak yang mempertikaikan kesungguhan serta keberkesanan tindakan dalam menangani gejala tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 34 orang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (pindaan) 2017 (POCA) atas kesalahan berkait dengan judi dalam talian, judi loteri haram, judi bookie dan judi di tempat bebas atau dalam bangunan.
“Bagi tempoh Januari hingga kini tahun ini, sebanyak 32 orang ditahan di bawah akta sama, atas pelbagai kesalahan judi.
“Secara keseluruhannya semenjak POCA diperkenalkan pada 2 April 2014, sejumlah 176 orang diambil tindakan di bawah akta tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, bagi tindakan ke atas perjudian komputer, sebanyak 2,158 serbuan dijalankan semenjak Januari hingga Jun lalu berbanding 4,946 serbuan sepanjang tahun 2017 manakala jumlah tangkapan bagi tahun ini ialah 6,168 orang (Januari-Jun) berbanding 10,846 sepanjang tahun lalu.
“Kita juga merampas sejumlah 16,345 unit mesin judi dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding 60,010 tahun sebelumnya dan bagi tindakan ke atas perjudian haram pula, sebanyak 8,118 serbuan dijalankan setakat Jun lalu berbanding 9,850 sepanjang tahun 2017.
“Tangkapan yang dibuat pula ialah sebanyak 14,780 orang setakat Jun lalu berbanding 17,998 pada tahun 2017,” ujarnya.
Jelas Mohamad Fuzi, pihaknya mengambil kira segala pandangan disuarakan pelbagai pihak dan akan melipat gandakan usaha untuk memastikan kemelut judi ini dibendung dengan berkesan.
“Perkara ini akan terus dipertingkatkan melalui kerjasama dan tindakan bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masing-masing mempunyai peranan penting dalam menangani isu tersebut.
“Aktiviti perjudian bukan sahaja membelenggu masyarakat, tetapi turut mengundang persepsi seolah-olah PDRM adalah satu-satunya agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menangani gejala judi,” katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah tambahan di pihak PDRM, semua ketua-ketua polis telah diarah membuka bilik gerakan khas bertujuan menerima aduan dari masyarakat berhubung kegiatan judi di kawasan mereka. – UTUSAN ONLINE
Berikut merupakan nombor talian Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) mengikut negeri:
1. Perlis 04-9082273
2. Kedah 04-7741379
3. Pulau Pinang 04-2221722
4. Perak 05-2451222
5. Selangor 03-55145168
6. Negeri Sembilan 06-7682340
7. Melaka 06-2854222
8. Johor 07-2254422
9. Kelantan 09-7455636
10. Terengganu 09-6354814
11. Pahang 09-5052269
12. Sabah 088-454851
13. Sarawak 082-274213
14. Kuala Lumpur 03-21460670
15. Bukit Aman 03-22666261










