NEW YORK 24 Julai 2018 – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah menggesa Myanmar supaya meningkatkan usaha untuk membolehkan pelarian Rohingya kembali ke negara itu dengan selamat dan secara sukarela.
Pada satu mesyuarat tertutup semalam, 15 anggota majlis itu menyeru lebih banyak bantuan pembangunan sosial dan ekonomi serta usaha membantu memudahkan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya untuk kembali ke rumah mereka di negeri Rakhine.
“Ahli-ahli Majlis Keselamatan terus menekankan pentingnya dilakukan penyiasatan bebas dan telus terhadap tuduhan penyalahgunaan dan pelanggaran hak asasi manusia,” kata kenyataan itu.
Duta PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener berkata, kerajaan negara itu sudah bersetuju untuk membawa pulang beratus-ratus ribu Rohingya yang melarikan diri kembali ke Rakhine.
Beliau, bagaimanapun menegaskan ketegangan masih lagi berterusan di Rakhine antara etnik minoriti Islam itu dengan majoriti penduduk beragama Buddha di kawasan berkenaan.
Burgener berkata, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dikritik di peringkat antarabangsa tentang bagaimana beliau menangani krisis itu, menyedari tentang kesukaran dan cabaran yang ada.
“Pihak berkuasa kerajaan mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka mahu membawa pelarian kembali ke tempat tinggal mereka.
“Jika kerajaan mahu membawa mereka kembali tetapi mereka perlu kembali secara sukarela, selamat, bermaruah dan secara berkekalan,” jelasnya.
Duta itu telah melawat Myanmar dua kali sejak mula berkhidmat dua bulan lalu dan dijadualkan melawat negara itu sekali lagi pada bulan September ini ke beberapa lagi kawasan di negara itu.
Pada akhir Ogos tahun lalu, kumpulan pejuang dari komuniti Rohingya mengangkat senjata dan mengutuk layanan buruk yang diberikan kepada etnik Islam Rohingya di Myanmar itu.
Berikutan itu, lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ekoran serangan pasukan tentera Myanmar yang bertindak balas terhadap serangan pejuang Rohingya ke atas pos kawalan di sempadan hampir setahun lalu.-AFP










