KUALA LUMPUR 24 Julai – Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas alumninya Menteri Kerja RayaMenteri Kerja Raya, Baru Bian dan timbalannya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir di Kementerian Kerja Raya di sini.
Kunjungan berkenaan adalah sebahagian daripada siri lawatan untuk bertemu dengan para alumni dalam Kabinet baharu kerajaan, kerajaan negeri, peneraju syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan swasta.
PAUiTM diketuai oleh Presidennya, Datuk Zaini Hassan yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM.
Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau dalam ucapannya amat gembira dengan kunjungan itu dan berharap pelbagai kegiatan dapat dijalankan bagi memberi pulangan semula kepada universiti, terutamanya alumni dan masyarakat.
“Saya amat tertarik dengan yayasan yang ditubuhkan oleh alumni iaitu Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), yang hasilnya telah dinikmati oleh para penerima.
“Saya sendiri semasa belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1981 dalam jurusan undang-undang berasal daripada keluarga yang miskin. Saya terpaksa merayu kepada Pengarah ITM pada masa itu iaitu Pok Nik (Datuk Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid) untuk mengurangkan bayaran yuran. Walaupun yuran ITM cukup murah sekitar RM90 semester tapi saya tak mampu.
“Akhirnya Pok Nik memberi pelepasan yuran kepada saya. Saya cukup bersyukur.
“Saya berharap yayasan TP1B ini dapat mengumpul lebih banyak dana bagi membantu pelajar-pelajar miskin seperti saya,” katanya yang mengikuti Diploma Undang-undang di UiTM Kampus Shah Alam.
Timbalannya, Mohd. Anuar pula berkata, jasa ITM, kini UiTM kepada beliau tiada ternilai.
“Jika saya mati dan hidup balik, saya akan tetap mahu menuntut di ITM. Ia sentiasa di hati saya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh bersetuju membantu PAUiTM dalam beberapa aktiviti menjana kewangan alumni.
Mohd. Anuar merupakan bekas pemimpin pelajar Kesatuan Siswa ITM di ITM Jalan Othman di sini pada 1971.
Dalam kunjungan kira-kira hampir dua jam itu, Zaini turut menerangkan mengenai aktiviti persatuan yang dinaungi oleh lebih 650,000 alumni universiti itu.
Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PAUiTM, Saiful Azhar Shaharun; Naib Presiden, Shamsul Azlan Mohd Nor; Setiausaha, Shukri Ishak; Presiden Alumni Kejuruteraan UiTM yang juga bekas Pengarah Urusan Proton, Datuk Ir. Kisai Rahmat dan Pengasas Yayasan Kesenian Perak, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah. – UTUSAN ONLINE










