Pasukan penyelamat temui 26 mayat - Utusan Malaysia

Pasukan penyelamat temui 26 mayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATTAPEU, Laos – Petugas-petugas penyelamat menemui 26 mayat, manakala beratus-ratus orang masih hilang selepas sebuah empangan hidroelektrik runtuh, mengakibatkan beberapa perkampungan di sekitarnya ditenggelami air.

Operasi mencari diteruskan semalam ketika mangsa-mangsa terselamat menyoal kenapa mereka tidak diberi amaran lebih awal berhubung bencana tersebut.

Dua kontraktor Korea Selatan berkata, mereka melaporkan kerosakan yang berlaku sekurang-kurangnya sehari sebelum sebahagian daripada empangan Xe-Namnoy itu runtuh dan melepaskan tembok air pada Isnin lalu.

Pegawai konsulat Thailand, Chana Miencharoen memberitahu agensi berita AFP dari lokasi kejadian di wilayah Attapeu bahawa 26 mayat telah ditemui menjelang tengah hari semalam.

“Seramai 17 mangsa cedera dan dirawat di hospital,” kata­nya sambil menambah, air banjir yang hampir menenggelamkan bumbung kediaman menyukar­kan usaha menyelamat di kawasan pedalaman di Laos, negara Asia Tenggara yang dikelilingi oleh daratan.

Dalam satu kemas kini tengah hari semalam, Agensi Berita Laos (LNA) melaporkan, beratus-ratus orang masih belum ditemui, manakala di kampung Ban Mai sahaja, 50 penduduk didapati hilang.

“Kejadian ini berlaku dengan cepat, kami kesuntukan masa untuk mempersiapkan diri,” kata Joo Hinla, 68, dari salah sebuah kampung yang paling teruk terjejas, Ban Hin Lath.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN