Pasukan pancaragam Victoria Institution tiba di tanah air - Utusan Malaysia

Pasukan pancaragam Victoria Institution tiba di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 31 Julai – Pasukan Pancaragam Kor Kadet Victoria Institution (VICCB) yang mencatatkan kejayaan cemerlang dalam Pertandingan Pancaragam Dunia selamat sampai di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam tadi.

Rombongan yang terdiri daripada 81 ahli, guru penasihat, jurulatih dan wakil ibu bapa itu berlepas dari Taoyuan Airport, Taipei, Taiwan dengan menaiki pesawat MH367 pada pukul 4.50 petang.

Pasukan itu disambut meriah oleh ibu bapa yang sejak awal lagi tiba membawa sepanduk tertera kata-kata semangat dan ucapan tahniah.

VICCB muncul naib juara dan berjaya membolot tiga hadiah utama dalam Pertandingan Pancaragam Dunia 2018 di Taipei, Taiwan yang berakhir lewat malam semalam.

Anugerah tersebut adalah Best Colour Guard, Best Pit Percussion dan Best Marching Drill.

Dalam pertandingan peringkat akhir itu, pasukan ChienKuo High School Marching Band, dari Taiwan muncul juara dengan markah 92.2 peratus, diikuti tempat kedua, VICCB (91.6 peratus) manakala Calgary Stetson Show Band, dari Kanada, tempat ketiga (90.9 peratus).

Kejayaan ini membuktikan prestasi cemerlang pasukan itu dalam pertandingan yang disertai di dalam dan luar negara sekali gus mengharumkan nama Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN