LIMBANG – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan di Hutan Meritam di sini susulan isyarat kecemasan yang diterima dari kawasan tersebut petang semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd. Bukhori Saffiai dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Limbang berhubung isyarat kecemasan yang dikesan menerusi radar DCA pada pukul 3 petang semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan koordinat mendapati kawasan tersebut terletak di kawasan Hutan Meritam di sini.
“Pengesahan daripada DCA memaklumkan bahawa isyarat kecemasan tersebut bukannya datang daripada pesawat udara tetapi menerusi orang perseorangan.
“Berkemungkinan orang perseorangan tersebut memberi isyarat kecemasan disebabkan tersesat di dalam hutan atau ada hal kecemasan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Susulan daripada laporan itu, pasukan keselamatan dan beberapa orang awam pergi ke hutan itu berdasarkan koordinat diterima untuk menjalankan operasi SAR pada pukul 6.30 petang.
Bagaimanapun, selepas empat jam, tiada mangsa yang dijumpai malah polis juga tidak menerima laporan berhubung orang hilang.
Usaha pencarian diteruskan hari ini. – K! ONLINE











