Pasangan warga emas bertemu jodoh di pusat pendidikan Ustaz Kazim - Utusan Malaysia

Pasangan warga emas bertemu jodoh di pusat pendidikan Ustaz Kazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Julai – Sepasang warga emas yang belajar agama di Pengajian Pondok Pusat Pendidikan Al Barakah, Manjoi di sini bertemu jodoh di pusat pendidikan milik pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias.

Hussain Abdul Rahman, 84, dan Kamsiah Adam, 66, melangsungkan pernikahan di pusat pendidikan tersebut hari ini setelah mendapat cadangan daripada Mohd. Kazim supaya Hussain mencari jodoh.

Kamsiah yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, dia bersetuju berkahwin kerana terpikat dengan kesolehan Hussain.

Menurutnya, dia juga mahu menjaga bekas Imam Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 12 tahun itu yang mengalami sakit lutut.

Menurutnya, dengan sijil dalam bidang fisiologi yang diperoleh ketika belajar di Australia, Kamsiah yakin boleh menjaga suaminya.

“Kami merancang untuk terus tinggal di pusat pendidikan ini mendalami ilmu agama dan menjalankan ibadah bersama-sama,” katanya di sini hari ini.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh adik Kamsiah iaitu Hamzah Adam dengan disaksikan Timbalan Pendaftar Ipoh, Mohd. Azarudin Mohamad Saarani.

Sementara itu, Hussain  bersyukur selepas dinikahkan setelah menerima cadangan daripada pengasas dan Pengetua pusat pendidikan itu, Mohd. Kazim.

Hussain yang merupakan bekas Penyelia Sekolah-Sekolah Agama Johor berkata, Ustaz Kazim mencadangkan supaya dia mencari pasangan hidup supaya dapat menjalani ibadah di pusat pendidikan itu dengan lebih tenang.

“Saya bersetuju dengan cadangan tersebut dan mencari jodoh dalam kalangan mereka yang belajar agama di sini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim memberitahu, pasangan tersebut merupakan pasangan keenam yang belajar di Pengajian Pondok berkenaan yang bertemu jodoh di pusat pendidikan tersebut dan Hussain merupakan pelajar paling senior di Pengajian Pondok berkenaan.

“Beliau merupakan pelajar yang paling senior dari segi usianya dan kami bersyukur dapat menyatukan dua individu dan dua buah keluarga di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN