Pasangan kekasih terlibat pelbagai kes jenayah ditahan - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih terlibat pelbagai kes jenayah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan sepasang kekasih yang juga anggota geng pecah kedai, pecah rumah, samun, ragut dan curi motosikal dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Petani, Kubang Semang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah tersebut pada 10.30 pagi dan menahan pasangan berumur 31 dan 32 tahun itu  serta merampas pelbagai barangan hasil kegiatan jenayah mereka.

Katanya, antara barangan yang dirampas daripada pasangan itu ialah 17 utas jam tangan pelbagai jenama, enam telefon bimbit, dua kamera, sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dicuri di Tasek Gelugor dan sebuah enjin motosikal yang dilaporkan hilang di Machang Bubok.

“Berdasarkan siasatan pasangan itu terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk terbaharu, mereka memecah masuk sebuah kedai menjual jam tangan di Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng, di sini pada 11 Jun lepas dan melarikan 18 utas jam tangan jenama Polo serta Casio dan wang tunai RM200.

“Mereka juga telah melakukan enam kes samun terhadap warga asing dan masing-masing dua kes ragut serta curi motosikal di SPT sejak dua bulan lepas, malah siasatan mendapati pasangan itu terlibat kegiatan jenayah di Seberang Perai Utara (SPU),” katanya di sini hari ini. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN