RAWANG – Sepasang suami isteri yang membawa anak perempuan mereka berusia 10 tahun ke sebuah pusat perjudian merupakan antara yang ditahan dalam beberapa siri serbuan bagi membanteras aktiviti judi haram di Jalan Bandar Rawang 3, Bandar Baru Rawang di sini malam tadi.
Pasangan tersebut yang sedang leka berjudi sewaktu operasi dilakukan merupakan antara 113 individu yang ditahan dari 10 premis perjudian yang diserbu di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang turut menyertai operasi tersebut berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan bermula pada pukul 8 malam sehingga awal pagi tadi.
“Daripada 113 yang ditahan, 41 merupakan penjaga premis berusia di antara 20 hingga 40 tahun manakala baki 72 individu lagi merupakan pelanggan berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun.
“Kami turut merampas sebanyak 208 mesin slot, 73 simulator, 63 cip tambah nilai termasuk wang tunai berjumlah RM16,808,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini malam tadi.
Turut serta dalam operasi tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.
Difahamkan, setiap mesin simulator dirampas bernilai di antara RM10,000 hingga RM15,000 yang menjadikan nilai rampasan dalam operasi tersebut mencecah jutaan ringgit.
Menurut Mohamad Fuzi, sejak bilik gerakan khas bagi membanteras aktivit perjudian haram dibuka pada 20 Julai lalu, lebih daripada 100 maklumat telah diterima dan hampir kesemuanya telah diserbu.
“Polis tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini dan akan berterusan membersihkan operasi-operasi perjudian haram yang dilihat menjadi penyumbang kepada masalah sosial dalam masyarakat,” tegas beliau. – K! ONLINE










