Pas bimbang polisi ekonomi liberal diperkenal - Utusan Malaysia

Pas bimbang polisi ekonomi liberal diperkenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Pas melahirkan kebimbangan bahawa dasar-dasar ekonomi yang lebih liberal akan diperkenalkan selepas kerajaan akan melaksanakan penelitian semula terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Sehubungan itu, jelas Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, Pas menuntut jaminan daripada kerajaan Persekutuan supaya penelitian terhadap dasar-dasar itu tidak mengetepikan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

“Asas tuntutan ini dikemukakan kerana bimbang polisi ekonomi yang lebih liberal akan diperkenalkan berdasarkan meritokrasi sehingga mengabaikan kontrak sosial, dasar afirmatif dan peruntukan khas seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Pas mendesak keputusan kerajaan Persekutuan yang melibatkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu mesti dirunding bersama pemegang taruh dalam kalangan ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan Melayu-Islam termasuk tokoh-tokoh berpengaruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk MEB dan DEB

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kemudian berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa langkah meneliti semula DEB dan MEB tidak akan mengetepikan hak golongan bumiputera di negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN