Parti Hun Sen menang semua kerusi Parlimen - Utusan Malaysia

Parti Hun Sen menang semua kerusi Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH 30 Julai – Parti pe­merintah pimpinan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mendakwa memenangi kese­mua 125 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum negara ini yang berlangsung semalam.

Jurucakap Parti Rakyat Kemboja (CPP), Sok Eysan berkata, parti tersebut memperoleh sebanyak 77.5 undi dan memenangi kesemua kerusi Parlimen.

Beliau memberitahu bahawa parti lawan tidak menang sebarang kerusi Parlimen dalam pilihan raya yang diadakan.

Namun, keputusan tersebut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk beberapa kumpulan hak asasi manusia, Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat yang lain.

White House menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya kini mempertimbangkan beberapa langkah terhadap ahli-ahli politik negara ini termasuk melanjutkan sekatan visa sebagai tindak balas berhubung proses pilihan raya yang disifatkan sebagai ‘cacat’.

Setiausaha Akhbar White House, Sarah Sanders berkata, un­­dian pada pilihan raya yang ber­langsung semalam gagal memenuhi keperluan penduduk Kemboja.

“Pilihan raya tersebut me­nge­tepikan sama sekali parti pembangkang, sekali gus mencacatkan sistem demokrasi di negara ini.

“Keputusan majoriti yang di­peroleh CPP pimpinan Hun Sen tanpa melibatkan parti pembangkang adalah satu perkara yang tidak masuk akal,” katanya.

Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan menyatakan bahawa kenyataan White House itu adalah satu cubaan untuk memalukan negara ini.

Dalam pada itu, para pengkritik pula menyatakan bahawa pilihan raya tersebut dilihat sebagai kemerosotan demokrasi di negara ini, terutamanya selepas pembubaran parti pembangkang utama iaitu Parti Penyelamat Kebangsaan Cambodia (CNRP), selain pemimpinnya, Kem Sokha dipenjara atas kesalahan melakukan pengkhianatan.

Bekas Presiden CNRP, Sam Rainsy yang kini hidup dalam buangan juga menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai kemenangan yang menyedihkan buat Hun Sen.

AS sebelum ini mengenakan se­katan visa terhadap beberapa ahli politik Kemboja manakala Kesatuan Eropah (EU) mengancam untuk melaksanakan sekatan ekonomi ke atas negara ini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×