KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang baru dilantik sebentar tadi menegaskan akan melaksanakan tugas dengan sepenuh hati.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan berkata, beliau akan melaksanakan tugas bebas daripada pengaruh luar untuk memelihara martabat dan maruah dewan yang mulia itu.
“Saya juga akan bersama dengan semua Ahli Parlimen sekalian berusaha ke arah meningkatkan lagi wibawa institusi Parlimen negara kita.
“Supaya budaya demokrasi berparlimen negara kita bertambah berkesan, adil dan saksama,” katanya ketika berucap selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Tambah Mohamad Arif, beliau berharap agar semua Ahli Parlimen akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat seperti yang dituntut oleh institusi Dewan Rakyat.
“Berbahas berasaskan kejujuran dan tanggungjawab serta berdebat secara saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam rangka demokrasi berparlimen.
“Saya percaya tutur kata dan perlakuan ahli-ahli yang berhormat sekalian akan memastikan kita mampu mencapai matlamat-matlamat tinggi Dewan ini,” ujarnya. – K! ONLINE










