Parlimen: Tindakan keluar dewan bukan cara untuk bantah - Khairy Jamaluddin - Utusan Malaysia

Parlimen: Tindakan keluar dewan bukan cara untuk bantah – Khairy Jamaluddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sungguhpun terdapat pertikaian berhubung proses pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan  pembangkang keluar dewan bukan caranya untuk menyatakan bantahan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu yang kekal di dalam dewan sehingga selesai majlis mengangkat sumpah jawatan berkata, bantahan boleh dibuat sewaktu perbahasan selepas upacara perasmian pembukaan Parlimen esok atau menerusi peraturan mesyuarat.

“Hari ini adalah hari untuk kita mengangkat sumpah jadi kita perlu menghormati dewan dan  majlis mengangkat sumpah. Kita boleh jadi contoh yang baik.

“Cara macam mana kita nak bantah itu boleh kita buat sewaktu perbahasan selepas upacara perasmian pembukaan Parlimen esok ataupun melalui standing order (peraturan mesyuarat) pada Rabu nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Selain Khairy, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah  Aman turut terus berada di dalam dewan namun beliau enggan memberi sebarang kenyataan apabila ditemui pemberita selepas majlis itu.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta wakil rakyat daripada parti Pas bertindak keluar Dewan Rakyat pagi ini sebagai tanda bantahan dan menolak proses pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kesembilan hari ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN