KUALA LUMPUR – Barisan pembangkang menggesa supaya sidang Parlimen ditangguhkan selama 14 hari bagi membolehkan notis pelantikan calon Yang Dipertua Dewan Rakyat efektif dan mengikut prosedur Peraturan Mesyuarat 4(1).
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu wajib dipatuhi kerana bimbang pemilihan dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang tidak mengikut prosedur itu boleh dicabar di mahkamah seterusnya memalukan negara.
“Apatah lagi, calon Yang Dipertua Dewan Rakyat ini merupakan bekas hakim mahkamah rayuan dan profesor undang-undang yang tersohor.
“Kami tidak menentang pemilihan calon tersebut, siapa pun kami boleh terima tetapi kena ikut prosedur,” katanya dalam sidang akhbar bersama ahli-Ahli Parlimen pembangkang lain di lobi Parlimen hari ini.
Jelas Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, Peraturan Mesyuarat 4 (1) itu merupakan mandatori dan kegagalan mematuhi peruntukan itu akan menyebabkan fatal iaitu pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak sah.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun pihak kerajaan menyatakan nama calon Yang Dipertuan Dewan Rakyat telah diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah namun ia hanya merupakan satu dakwaan mereka sahaja.
“Walaupun Perdana Menteri bagitau nama telah disenaraikan awal iaitu pada 2 Julai lalu, namun kami ada bukti yang cukup untuk menyangkal perkara tersebut,” jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. – K! ONLINE










