KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila hampir semua pemimpin pembangkang Barisan Nasional (BN) dan Pas bertindak keluar dari dewan kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Kekecohan berlaku sebaik sahaja Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah bangun menyatakan Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu berikutan hanya satu nama calon yang diterima.
Perkara itu bagaimanapun mendapat bantahan kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan lantikan itu tidak sah kerana tidak mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Perkara 4, calon yang dicadangkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah memberitahu Setiausaha Dewan dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat berlangsung.
Antara Ahli Parlimen yang bangun membantah ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan.
Bagaimanapun, perkara itu tidak diendahkan oleh Roosme yang memberitahu bantahan boleh dilakukan selepas itu.
Tindakan tersebut menyebabkan hampir semua Ahli Parlimen pembangkang BN dan Pas bertindak keluar daripada dewan.
Hanya Ali Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang kekal di dalam Dewan Rakyat apabila kesemua Ahli Parlimen pembangkang lain keluar sebagai tanda protes.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi persidangan Parlimen ke-14.
Cadangan itu kemudiannya disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. – K! ONLINE










