SAUDARA PENGARANG, BERSEMPENA Piala Dunia 2018 yang menampilkan Perancis sebagai juara, saya ingin berkongsi satu fakta menarik tentang ikon kebanggaan negara itu, Menara Eiffel.
Mungkin ramai yang tidak tahu, tindakan mengambil gambar atau merekod video Menara Eiffel pada waktu malam berdepan risiko pelanggaran undang-undang hak cipta di Perancis.
Larangan ini terpakai ke atas gambar atau video pada waktu malam tanpa kebenaran Syarikat Pengurusan Menara Eiffel (The Société d’Exploitation de la Tour Eiffel) sekiranya untuk tujuan komersial sahaja (seperti menjual kepada majalah atau dijadikan poster wayang).
Dengan kata lain, jika sekadar untuk tujuan rekod dan simpanan sendiri, itu masih dibenarkan. Pada waktu malam, Menara Eiffel akan bercahaya dengan simbahan lampu.
Keadaan Menara Eiffel yang bersinar dengan hiasan lampu ini adalah satu persembahan yang bersifat artistik dan atas alasan ini ia dilindungi oleh Kod Harta Intelek di bawah kategori ‘Karya Artistik’ (Peruntukan L112-2 Kod Harta Intelek Perancis).
Mengambil foto atau video Menara Eiffel pada waktu siang pula tidak menjadi satu kesalahan dan dibenarkan oleh undang-undang kerana hak cipta untuk bangunan menara itu (waktu siang) telah pun luput pada 1993.
Bermula tahun 1985, mereka mula menghiasi Menara Eiffel dengan teknologi lampu-lampu yang pelbagai bagi menjadikannya lebih ikonik pada waktu malam. Imej Menara Eiffel pada waktu malam yang dilihat menarik inilah dianggap sebagai satu hasil karya artistik dan mewajarkan perlindungan di bawah hak cipta.
Adakah ini satu undang-undang yang pelik?
Pada pendapat saya, undang-undang ini wujud dengan satu asas yang kukuh.
Aktiviti menghias menara itu dengan lampu-lampu memerlukan kos dan daya usaha yang besar di samping kreativiti tinggi serta memenuhi kriteria keaslian (originality).
Yang menjadi perdebatan adalah kedudukan Menara Eiffel di kawasan umum dan terbuka.
Semestinya pengunjung akan datang untuk mengambil gambar dan video, jadi mengapa wujud undang-undang melarang gambar dan video dirakamkan di Menara Eiffel pada waktu malam?
Ini kerana sejak 2016, Perancis adalah antara negara di Eropah yang mengehadkan Kebebasan Pemandangan (Freedom of Panorama).
Ini adalah satu kebebasan yang membenarkan kita mengambil gambar atau merekod video bangunan di tempat awam.
Perancis masih lagi mengehadkan kebebasan ini di negara mereka.
Apa yang pasti, larangan ini hanya terpakai kepada penggunaan foto dan video komersial yang diambil pada waktu malam.
HELMI KHAIR
UiTM Negeri Sembilan









